Notifikasi Harga Panduan Harian Buah Tandan Segar MPOB pada kadar 1% OER

Dimaklumkan bahawa Harga Panduan Harian Buah Tandan Segar (BTS) MPOB pada kadar 1% OER berbanding mengikut Gred A, B & C sebelum ini telah dihebah bermula 1 Julai 2020. Diharapkan hebahan harga panduan BTS MPOB pada kadar 1% OER ini akan lebih memberikan kebaikan kepada industri sawit, terutamanya pekebun kecil. Berikut merupakan antara kebaikannya:

  1. Pekebun kecil akan dapat membuat rujukan & perbandingan harga BTS yang diterima berbanding harga panduan yang dihebah MPOB. Ketika ini sudah terdapat banyak pengilang/peniaga BTS yang mempamerkan harga belian BTS pada kadar 1% OER.
  2. Pekebun kecil sedar akan kepentingan menjual BTS yang berkualiti kepada pengilang bagi mendapatkan kadar perahan minyak (OER) yang tinggi & harga yang lebih baik.
  3. Pekebun kecil mudah mengira harga BTS berdasarkan gred selain daripada Gred A, B & C seperti yang diguna pakai oleh MPOB sebelum ini. (Contoh: kadar OER pada 20.50%).
  4. Boleh mengelakkan tanggapan bahawa kadar OER tertinggi di Semenanjung hanyalah pada 20% manakala di Sabah dan Sarawak pada 22%.
  5. Dengan pelaksanaan MSPO (2020 - 2022) berkemungkinan kadar OER akan lebih tinggi di masa hadapan. Justeru, hebahan harga panduan BTS MPOB pada kadar 1% OER ini amat bertepatan dengan situasi semasa.

Contoh hebahan harga panduan BTS MPOB pada kadar 1% OER bermula 1 Julai 2020 adalah seperti berikut:

Harga Panduan Harian BTS MPOB (Dipintu Kilang - RM / 1% OER)

Utara Selatan Tengah Timur Sabah Sarawak
23.98 24.40 24.26 24.06 21.50 21.71

 

 

Daripada contoh hebahan harga ini, sekiranya seorang pekebun kecil di Wilayah Selatan memperolehi kadar OER sebanyak 20.50% dari pengilang BTS, maka harga yang diterima oleh beliau adalah RM500.20 se tan (RM24.40 x 20.5). Seorang pekebun kecil di Sabah pula yang memperolehi kadar OER sebanyak 22.50% daripada pengilang BTS, harga sebenar yang dibayar kepada beliau adalah RM483.75 se tan (RM21.50 x 22.5).

Perlu ditegaskan bahawa MPOB tidak menetapkan atau menentukan harga BTS. Harga panduan BTS MPOB pada kadar 1% OER ini adalah berdasarkan kepada harga pasaran semasa CPO, PK dan CPKO mengikut wilayah yang diperolehi daripada pendaftaran kontrak oleh pelesen kepada MPOB.

Selain itu, harga panduan BTS MPOB pada kadar 1% OER ini merupakan harga panduan sahaja (penanda aras) yang boleh digunapakai oleh penjual dan pembeli dalam urusniaga penjualan BTS.